Malam-malammu bukan lagi, seperti ada aku, Kau memilih sepi dan bisu, dan aku diam menunggu. Perasaan memang rumit, ada masa selalu bersungguh, kadang terlalu letih, kejar sana-sini, kerna cuma mahu kamu dan aku jadi yang terbaik. Dahulu engkau sudah larikan aku, dengan sebuah harapan kamu, dan aku tetap berlari mengikuti, cuma masa ini, engkau kelelahan dan melupakan. Tanyalah kepadaku, tentang hati yang ditinggalkan, yang memberat di jiwa, menyentak malam-malamku, tapi aku masih berdiri. di hari ini.
Tuhan telah memilih kita hari ini, dengan liku duganya, agar sempat melihat, sisi kekurangan diri. Jangan datang, jika takut luka lama belum habis sembuh, ini bukan lumba hati, ini tentang hujung matiku. Mungkin kau akan ambil pusing, saat engkau sudah bosan, dan mahukan sesuatu yang baru, tapi aku ini bukan boleh pakai buang, kalau kau tahu. Aku tak letih,lari dan sambil rintih,tentang waktu yang buat aku rasa kelat,kerana hidup terkadang sarat,tapi buat kau lebih kuat.harapan-harapan jeda di pertengahan, siapa lagi yang layak menyambungnya, perlukah tangan-tangan asing, atau kau lupa bagaimana mula dulu.
Kau tak pernah, walau sekali untuk duduk dan bertanya, tentang waktu waktu kita yang semakin, dicarik-carik kekosongan, kau cuma tahu, lari. Kita sering bertelagah,siapa paling banyak memberi masa,tapi kita tak saling cuba,kira berapa banyak waktu untuk memberi yang terbaik. Kita masih bertegang soal siapa yang patut, itu dan ini, tapi kita tak mahu melengkap apa yang kurang, itu dan ini. Ini bukan soal menduga, cuma kau yang terlebih sangka, dan kadang kurang percaya. Pertahankanlah harapan-harapanmu, walau luka itu,masih belum sembuh, dan dihambat cerca manusia.
Hati mahu lari, tapi memori mengikat sendi, aku tak pergi, cuma masih berfikir berkali-kali. Ke mana harus aku lari, bila tiap inci ruang itu mula dikaburi, manis senyum kamu, yang buat aku jaga dalam mimpi. Agaknya sudah tiba masa kita jauhi, duga dan sangka terkadang buat kita kelahi. Jika kau betul ada saat aku jatuh, tahulah engkau rasanya dicemuh dan perasaan runtuh. Engkau boleh pilih semahunya, untuk terus menatap rindu dan terus setia padaku, atau berlalu dan pergi, tanpa ada sedikit kasihan ke aku.
Aku pinta pada setiap detik jam, kita masih berani berbicara apa yang terpendam, sampai terlunas apa yang mengganggu fikir kita. Ini bukan puisi akhir, cuma sebuah kisah yang terpinggir, cuma sekeping nota yang tertulis bersama dakwat-dakwat kekecewaan. Antara bahagia atau terus derita, pilihan itu milik kau.